Semasa umat manusia dalam kegelapan
dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah
di Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah
peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang
telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam
kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut
dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka’abah, kemudian diberikan nama
Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad disusukan
selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu
kedatangan wanita dari Banu Sa’ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan
bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa’ad
yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima
baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa
pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati
keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan
dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal
selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada
Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun, baginda
didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang berpakaian
putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Pada ketika itu,
Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka
yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan
kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan
yang aneh ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama
keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang,
kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan keluarganya.
Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul Mutallib amat
menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah untuk bertemu
dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan
yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat wafatnya
Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka berada di
Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia dan
rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa dari
Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di Abwa,
ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di situ
juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
“Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk” (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7).
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk
baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk baginda
pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan besar
buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang
bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan
makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk
Makkah yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda,
Abu Talib mengambil alih tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad.
Walaupun Abu Talib kurang mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia
mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang
Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya
sendiri. Dia juga tertarik dengan budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka
berkunjung ke Syam untuk berdagang sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka
bertemu dengan seorang rahib Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda
kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak
pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang Yahudi akan menyakiti
baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu Talib mengikut nasihat
rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut.
Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga
telah menjadi sebahagian dari keluarganya. Baginda mengikut mereka ke
pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair
terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas sebagai
pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing penduduk
Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa
menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran manusia
nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang sia-sia,
sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu “Al-Amin”.
Selepas baginda mula meningkat
dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan
Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda
melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik
dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang pedagang.
Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25
tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira
apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka
berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai
suami isteri.
Penurunan Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah
menerima wahyu yang pertama dan diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika
itu, baginda berada di Gua Hira’ dan sentiasa merenung dalam kesunyian,
memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril
menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama diturunkan kepada
Muhammad.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan” (Al-’Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa
gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila
semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang
telah berlaku.
Kemudian baginda mula berdakwah
secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk mengelakkan
kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah
isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali
bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah
yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu
memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah
pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang
diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.”
(Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk Quraisy
menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi baginda dan
para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak
pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat
risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang hebat dari kaum
Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah seterusnya. Lantas
jawab Rasulullah yang bermaksud:
“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di
tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini,
aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala
penjuru atau aku binasa kerananya”
Baginda menghadapi pelbagai
tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan daripada penduduk-penduduk
Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah
sahaja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga
turut merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang
menerima siksaan yang berat.
Kewafatan Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat
tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda tahu akan
akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin bertambah
apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri
bagindalah yang tidak pernah jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan
jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di
saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara
baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia. Maka
bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan
orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.
Penghijrahan Ke Madinah
Tekanan daripada orang-orang kafir
terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas pemergian isteri dan bapa
saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah
berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan
meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin manakala
penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda diterima
baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam didirikan di
bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di
Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari
penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad
s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya
pentadbiran dan perundangan yang berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik
sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis
telah dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan
antara semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik,
sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan
wahyu dan dijadikan dasar undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan
kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi melindungi agama,
masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera
untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi
baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak
(626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan diakhiri
dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah,
Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara penduduk Islam Madinah dan kaum
Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi
Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630 M/9 H
bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh
Rasulullah ialah Perang Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat
kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama
dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah menyampaikan amanat
baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda baginda yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan
kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang
paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah.”
Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada bulan Jun
tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai
melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya
membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab,
berilmu dan berkebolehan. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia
sepanjang zaman.